fb fb fb fb fb

Isu pengosongan tanah kebun durian Musang King: Sultan Pahang titah hormati keputusan mahkamah

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima sambah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kiri) pada perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-15 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang disini harı ini / BERNAMA

KUANTAN, 6 Mei- Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah agar semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan baru-baru ini berkaitan semakan notis pengosongan tanah kebun durian Musang King di Raub.

Titah baginda, keputusan itu selaras tugas mahkamah sebagai pelaksana undang-undang negara.

Baginda juga bertitah mengingatkan agar Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) tidak gusar dan akan terus proaktif memperkasakan tindakan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.

"Beta mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan berkenaan permohonan semakan kehakiman bagi notis pengosongan tanah oleh pekebun durian Musang King di Raub pada 24 April 2024 yang lalu dan beta berharap agar semua pihak menghormati keputusan mahkamah tersebut.

"Beta berharap Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang tidak gusar dan takut serta akan terus proaktif memperkasakan tindakan penguatkuasaan undang-undang,"titah baginda.

Ia termasuk meneruskan aktiviti rondaan pencegahan, siasatan dan pengumpulan maklumat berkaitan pencerobohan tanah kerajaan.

Dalam pada itu, baginda turut berbangga apabila Kerajaan Negeri Pahang berjaya mengatasi ketirisan hasil negeri daripada kegiatan mencuri hasil bumi dan pencerobohan tanah kerajaan yang menyaksikan ebanyak RM2.7 juta kompaun dan denda berjaya dikutip pada 2023 berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM1.5 juta.

Malah, kutipan hasil tanah juga turut menjadi penyumbang hasil tertinggi pelbagai sumber bagi tahun lalu iaitu sebanyak RM740.35 juta daripada RM1.306 bilion jumlah keseluruhan.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan hari ini.

Kerajaan Negeri Pahang tahun ini menetapkan sasaran kutipan hasil secara keseluruhan sebanyak RM1.137 bilion dengan jumlah perolehan setakat 30 April 2024 telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM298.108 juta iaitu 26.2 peratus daripada sasaran yang ditetapkan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE