fb fb fb fb fb

JAKIM laksana sesi libat urus, nilai cadangan tubuh Universiti Al-Quran Malaysia

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 6 Mei- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah melaksanakan sesi libat urus bagi menilai cadangan penubuhan Universiti Al-Quran Malaysia dengan pihak-pihak yang berkepentingan.

Langkah itu antara usaha dalam memperkukuh agenda pemerkasaan pendidikan tahfiz serta menjamin masa depan para huffaz.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan memberitahu, untuk memperkukuh sistem pendidikan tahfiz JAKIM telah melaksanakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara dengan kerjasama pihak berkuasa agama Islam negeri termasuk persatuan tahfiz.

Selain itu dan mewujudkan sistem pengiktirafan kepada institusi tahfiz dengan menubuhkan Jawatankuasa Akreditasi Tahfiz di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK).

"Pada masa sama untuk memperkasa kemahiran pengurusan, pembelajaran dan pengajaran di kalangan guru dan pengurusan tahfiz, JAKIM dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Institut Aminuddin Baki telah melaksanakan program program latihan kepada pihak yang berkaitan," kata kenyataan itu.

Kenyataan beliau adalah sebagai menyambut baik cadangan yang dikemukakan oleh pihak Presiden Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) supaya ditubuhkan Maktab Perguruan Tahfiz sebagai salah satu kaedah untuk memperkukuh sistem pendidikan tahfiz di Malaysia.

Beliau juga yakin bahawa semua inisiatif yang sedang dan bakal dilaksanakan akan dapat memperkukuh usaha-usaha pembangunan Al-Quran secara menyeluruh seterusnya mengisi makna pembinaan Malaysia MADANI.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM