fb fb fb fb fb

Ketepikan agenda politik sempit, berkhidmat untuk rakyat - Tuanku Muhriz

Foto Fail/BERNAMA

SEREMBAN, 6 Mei- Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diingatkan supaya mengetepikan agenda politik sempit, sebaliknya bekerjasama atas nama perpaduan dan kebajikan rakyat.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Tuanku Munawir bertitah, dalam menghadapi senario ekonomi mencabar, kestabilan landskap politik amat penting agar segala dasar-dasar yang telah dirangka dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Tambah baginda, fokus perlu diberi kepada projek dan program yang telah dirangka agar dapat dapat diterjemah dan dapat dirasai oleh rakyat.

"Adalah menjadi tanggungjawab Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk memimpin dan membimbing rakyat agar sama-sama bersedia bergerak membina sebuah negeri dan negara yang teguh bersatu, sejahtera dan makmur. Ketahuilah bahawa Ahli-Ahli Yang Berhormat sentiasa diperhati dan dinilai oleh rakyat di luar sana."

"Dunia digital tanpa sempadan hari ini menjadikan segala tindakan dan perbuatan Ahli-Ahli Yang Berhormat akan segera diketahui dan dinilai oleh rakyat. Oleh yang demikian, berbahas dan berhujahlah secara rasional dan intelektual atas perkara perkara yang boleh membawa kebaikan dan manfaat bersama serta menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat," titah baginda pada Istiadat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini.

Baginda turut bertitah supaya semua ADUN sentiasa menghayati, melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Peraturan-Peraturan Tetap Dewan juga hendaklah sentiasa dipatuhi semasa berhujah dan sepanjang persidangan berlangsung dengan berpegang kepada prinsip mendahulukan kepentingan dan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri dalam setiap hujah yang disampaikan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM