fb fb fb fb fb

Kes denggi di Perlis meningkat

KANGAR, 8 Ogos- Kes denggi di seluruh Perlis kini terus menunjukkan trend peningkatan kepada 607 kes berbanding tempoh yang sama tahun lepas yang hanya mencatatkan 161 kes.
 
Ketika ini terdapat 14 lokaliti wabak aktif  dan usaha memeranginya perlu terus dipergiatkan melibatkan komuniti setempat dan pelbagai agensi kerajaan.
 
Bagi ADUN Sena, Marzita Mansor, kawasan Sena merekodkan empat kes baharu sepanjang minggu lalu dengan kes terkumpul kini meningkat kepada 62 kes dan perhatian serius perlu diberikan penduduk bagi mengatasi kes denggi ini.
 
Masyarakat setempat diseru supaya menjalankan peranan masing-masing dengan sentiasa menjaga kebersihan di dalam dan luar rumah serta memastikan pembuangan sampah dengan teratur dan sempurna bagi memutuskan penularan denggi.
 
Aktiviti pendampingan komuniti telah digerakkan Pusat Khidmat DUN Sena bersama agensi terlibat dan komuniti seperti Gotong Royong Bersama Penduduk, Program Ganyang Aedes dan Kempen Khidmat Nasihat Denggi Bersama Jabatan Kesihatan Negeri.
 
"Kita akan terus bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri dalam masa terdekat ini untuk menangani kes denggi di kawasan Sena,"kata Marzita.
 
Beliau memaklumkannya kepada media pada Program Sumbangan Peralatan Perniagaan di Kompleks Dewan Undangan Negeri, Kangar kepada 30 peniaga kecil seluruh Perlis.
 


(ADUN Sena, Marzita Mansor)

Media Baharu