KUALA LUMPUR, 12 Julai - Sebanyak 7,548 kes Love Scam direkodkan sejak 2018 hingga Jun tahun ini melibatkan kerugian lebih RM382 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kira-kira 7,200 individu dilapor menjadi mangsa dengan 82% atau 6,251 mangsa adalah wanita.
"Satu kerugian yang sangat besar sebenarnya. Kalau kita dengar sedih, 'its life time punya savings' yang hilang itu. Bukan sedikit ya. Yang habis bergadai golok pun ada, yang terpaksa pergi menjual harta dan sebagainya pun ada kes-kes yang sedemikian hanya kerana cinta. Sebab itu saya tadi berbisik-bisik dengan pegawai saya, 'the passion become poison' ia menjadi satu racun. Ia bukan sahaja kerugian kepada kewangan sebenarnya kerugian itu jauh daripada itu dari segi pengalaman traumatik," kata Ramli, di sini.
(Ramli bercakap kepada pemberita dalam sidang media selepas
Majlis Pelancaran 'trailer' Filem Tempatan Bertajuk "OPPA" di bu Negara)
Filem ini merupakan kerjasama PDRM dengan penggiat seni tempatan yang diterbitkan sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat bagi mengelak menjadi mangsa penipuan dalam talian
Sementara itu, Ramli berkata sehingga kini JSJK menerima hanya 16 laporan polis berkenaan penipuan perkhidmatan menunaikan wang bantuan eBelia Rahmah.
"Sejak hebahan media tentang kes ini (sebelum ini 14 kes) hanya dua laporan kes baharu diterima dan selepas itu tiada. Ini merupakan hasil keberkesanan laporan berita yang dikeluarkan pihak media.
"Jadi, masyarakat (terutama golongan pelajar) telah cakna dan menyedari tentang hal ini. Mereka berhati-hati," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata bagi memastikan usaha dan mesej kesedaran dapat disampaikan kepada masyarakat, Ramli berkata JSJK telah mempelbagaikan aktiviti pencegahan antaranya, program sembang santai, ceramah dan pameran di sekolah, rumah ibadat, universiti dan seumpamanya.