KUALA LUMPUR, 4 Mei- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengiktiraf komitmen tinggi serta disiplin luar biasa yang menjadi tunjang kekuatan Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JPBM) selama ini.
Sempena sambutan Hari Bomba Sedunia 2025, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga JBPM, para wira yang sentiasa bersiap siaga, tanpa mengira masa, demi melaksanakan amanah mereka.
"Setiap kali siren kecemasan berbunyi, para anggota bomba tidak pernah bertanya siapa yang harus diselamatkan. Mereka terus mara, berdepan api, banjir, runtuhan dan pelbagai tragedi demi satu tujuan iaitu menyelamatkan nyawa dan harta benda rakyat Malaysia.
"Tanpa mereka, keselamatan awam dan ketenteraman negara tidak akan terpelihara", katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut mendoakan agar semua anggota bomba terus diberikan kekuatan dan perlindungan dalam menjalankan tugas yang mulia tersebut.
"Terima kasih saya ucapkan atas setiap pengorbanan, keberanian dan semangat waja yang ditunjukkan saban waktu. Selamat Hari Bomba Sedunia 2025!