fb fb fb fb fb

Kertas siasatan kes tiga kanak-kanak keluarkan kepala dari kereta, selesai

(Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid ketika ditemu bual media)

IPOH, 4 April - Kertas siasatan melibatkan kes tiga kanak-kanak yang melakukan aksi berbahaya dengan mengeluarkan kepala dari sebuah kereta yang sedang bergerak di Ipoh bulan lepas, telah selesai.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata perkara tersebut telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan lanjut.

"Saya rasa bapa atau pun ibu bapa kena lebih bertanggungjawab ke atas keselamatan anak-anak, ini dia benarkan anak dia keluar tingkap, dengan kereta yang laju dalam keadaan tiga anak perempuan yang keluar kepala dari tingkap dan sebagainya, jadi kita telah tahan penjaga ataupun penjaga kepada budak-budak ini dan suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis, kita tunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwa raya," kata beliau selepas melakukan lawatan sempena hari pertama persekolahan secara bersemuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan, di sini.

(Video tular sebelum ini yang menunjukkan aksi berbahaya tiga kanak-kanak dalam sebuah kereta, dipercayai dirakam di Jalan Tambun)

Dalam pada itu beliau memaklumkan, sejumlah 250 buah sekolah menengah di Perak dibuka bagi tujuan pembelajaran secara bersemuka hari ini.

Ia menjadikan sebanyak 1,102 sekolah termasuk sekolah rendah telah dibuka sejak 21 Mac lalu.

Justeru, pemantauan secara berkala dilakukan oleh Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dan elemen lain PDRM seperti Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotorsikal (URB).

Media Baharu