Kerjasama TVET Malaysia–Indonesia wajar diperkasakan, perkukuh pembangunan modal insan serantau

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 23 Januari – Kerjasama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) antara Malaysia dan Indonesia wajar diperluaskan sebagai langkah strategik untuk memperkukuh hubungan pendidikan serta pembangunan modal insan antara kedua-dua negara serumpun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perluasan kerjasama TVET Malaysia–Indonesia sebagai strategi untuk menguatkan hubungan pendidikan dan pembangunan modal insan serantau.
  • Kemampuan kerjasama sedia ada harus diperkasakan bagi memenuhi keperluan industri dan meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja.
  • PAPTI digalakkan memainkan peranan aktif memperkukuh jaringan tidak rasmi antara institusi pendidikan dan pelajar kedua-dua negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama TVET sedia ada antara Malaysia dengan beberapa wilayah di Indonesia perlu terus diperkasakan bagi memenuhi keperluan industri semasa serta meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja di peringkat serantau.

Menurut beliau, pada tahun ini sahaja seramai 11,000 pelajar Indonesia sedang melanjutkan pengajian di Malaysia, sekali gus mencerminkan hubungan timbal balik yang positif dalam bidang pendidikan antara kedua-dua negara.

“Malaysia melalui Majlis TVET Negara telah menjalin kerjasama dengan beberapa wilayah di Indonesia, termasuk memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan dua wilayah. Saya berpandangan kerjasama ini wajar diperluaskan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Makan Malam Perdana Ulang Tahun Ke-50 Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia di Malaysia (PAPTI) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyarankan agar PAPTI memainkan peranan yang lebih aktif dalam memperkukuh hubungan tidak rasmi serta jaringan peribadi antara institusi pendidikan dan para pelajar kedua-dua negara.

Katanya, usaha tersebut penting bagi memastikan kesinambungan kerjasama bukan sahaja dalam sektor pelancongan, malah merangkumi bidang pendidikan dan TVET.