(Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bersama Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan
Che Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dr. Md. Nasir Ibrahim selepas menyaksikan
Majlis Menandatangani MoU kerjasama strategik RTM dan FINAS)
KUALA LUMPUR, 25 Oktober - RTM dan FINAS memeterai memorandum persefahaman bagi penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) ke-32 yang akan berlangsung pada 2 Disember depan.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, MoU kerjasama strategik itu penting bukan hanya semasa festival diadakan, namun memerlukan satu pelan promosi dan penyiaran acara yang baik bagi menyumbang kepada kejayaan penganjuran.
(Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa ditemubual media selepas menyaksikan
Majlis Menandatangani MoU kerjasama strategik RTM dan FINAS)
"Saya tak nak festival filem itu sebagai satu festival yang berlaku pada hari kemuncak, ia harus sebagai dari 'itinerary' industri di mana ada hebahan yang secukupnya, pemakluman yang secukupnya melalui proses seperti diskusi wacana, adakan forum-forum, menggalakkan perbincangan berkaitan dengan industri, jadi itu semua dapat disiarkan oleh penyiar rasmi selain dari liputan untuk pemberitaan dan peristiwa-peristiwa di sekitar festival itu sendiri," kata beliau ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani MoU kerjasama strategik RTM dan FINAS yang diwakili Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dr. Md. Nasir Ibrahim, di sini hari ini.
Annuar berharap melalui penyiaran yang berkesan, festival yang bakal berlangsung di Melaka itu dapat ditingkatkan kualitinya.