KUALA LUMPUR, 25 Oktober- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan mempertimbang untuk mewujudkan satu seksyen khas jenayah syariah digital.
Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar berkata, untuk itu pihaknya memerlukan kepakaran baharu dan juga kelengkapan teknologi pintar yang mampu mengenal pasti data-data yang diperlukan untuk mendapatkan bukti-bukti jenayah siber.
"Saya percaya, Ketua Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail dan rakan-rakan akan melihat bagaimana kita mungkin buat satu seksyen khas kepada jenayah syariah digital.
Jadi, ia perlu kepada ilmu yang lebih tuntas menggunakan 'Smart Machine Learning' yang dapat mengesan niat berbaur jahat atau tidak," katanya selepas merasmikan Konvesyen Penguatkuasaan Undang-undang Syariah Peringkat Wilayah Persekutuan di sini.
(Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, Pengerusi MAIWP)
Tambah beliau, ia merupakan suatu cabaran yang besar bagi pihaknya untuk mengekang jenayah syariah berkaitan teknologi dan penyebaran fitnah dalam kalangan masyarakat.
Selain memperkenal dasar undang-undang baharu, badan pelaksana juga perlu bergerak seiring agar akta yang dikeluarkan dapat dilaksana dengan berkesan.