SHAH ALAM, 20 November- Jalinan kerjasama dengan Allanasons Private Limited menyasarkan pengukuhan keselamatan makanan Selangor dan memodenkan sektor agromakanan.
Selangor menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menumpukan penyimpanan 1 juta kilogram (kg) daging bernilai RM25 juta di Gudang Makanan Selangor yang baru ditubuhkan.
Menurut exco negeri, Ir. Izham Hashim, kerjasama itu demi memastikan bekalan makanan yang berterusan kepada rakyat.
"Perjanjian ini ialah untuk daging lembu atau dipanggil kerbau yang melibatkan 1 juta kg yang sudah siap, sudah ada di Klang.
Bekalan daging ini boleh memanfaatkan keperluan untuk Selangor selama satu bulan. Jadi, kita akan tingkatkan kepada tiga bulan. Kalau tiga bulan, 3 juta kilogram. Tetapi, kita laksana untuk sebulan terlebih dahulu," tambah Ir. Izham.
Kerjasama itu juga bagi memperkukuh sektor agromakanan melalui perkongsian kepakaran dan pelaksanaan penyelesaian inovatif.