fb fb fb fb fb

Kerjasama peniaga Cina dan bumiputera perlu untuk ‘Greater Kuching’ – Abang Johari

(FOTO RTM)

KUCHING, 7 Februari-Premier Sarawak,Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu komuniti peniaga Cina bekerjasama dengan rakan bumiputera mereka untuk membangunkan kawasan Kuching, Samarahan dan Serian sejajar dengan strategi pembangunan “Greater Kuching” yang dirancang kerajaan Sarawak.

Tambah beliau, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM1.5 bilion menerusi penubuhan Greater Kuching Development Agency bagi membangunkan ketiga-tiga kawasan itu dari segi sektor pertanian seperti pertanian pintar, pertanian moden dan sektor pelancongan.

“Saya harap komuniti perniagaan Cina akan bekerjasama dengan bumiputera untuk membangunkan Greater Kuching yang terdiri daripada Kuching, Samarahan dan Serian.

“Ini adalah kawasan yang akan dinaik taraf dari segi pergerakan dengan Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) akan beroperasi di kawasan ini, seperti yang anda ketahui kami sedang melaksanakan sistem pengangkutan moden menggunakan hidrogen kerana kami mahu menjadikannya bandar pintar, bandar yang kurang pencemaran dan bandar yang boleh dibanggakan,” katanya.

Tambahnya lagi, idea pembangunan berkenaan turut diakui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pembangunan bandar sangat terancang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Tahun Baharu Cina anjuran Persekutuan Persatuan-persatuan Cina Kuching, Samarahan dan Serian di sini, malam tadi.


(Premier Sarawak,Tan Sri Abang Johari Tun Openg/FOTO RTM)

Media Baharu