Kerjasama negeri, persekutuan landasan terbaik tangani masalah di Sabah

KARAMUNTING, 26 November – Kerjasama rapat negeri dengan persekutuan merupakan landasan terbaik dalam menangani permasalahan rakyat di Sabah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama rapat antara kerajaan negeri dan persekutuan penting untuk selesaikan masalah rakyat di Sabah.
  • Keutamaan pada isu tiga serangkai: bekalan air, jalan raya dan elektrik.
  • Peningkatan kemudahan asas seperti hospital, klinik dan sekolah untuk kesejahteraan rakyat.
  • Jaminan penyelesaian tuntutan 40 peratus hasil Sabah dan komitmen menunaikan janji.
  • Seruan agar rakyat sokong calon Pakatan Harapan demi kemajuan dan pembangunan Karamunting.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini termasuk isu tiga serangkai iaitu air, jalan dan elektrik, serta menambah kemudahan asas rakyat seperti hospital, klinik dan sekolah.

“Jika nak buat bising buat sekarang, jangan bila pencen esok tak jadi menteri tak jadi Perdana Menteri marah sana sini tak ada guna lagi. Kita mahu buat sekarang, mahu tolong rakyat sekarang, mahu buka klinik sekarang, mahu tutup lubang (jalan) sekarang, elektrik dan air sekarang,” kata beliau.

Menyentuh mengenai tuntutan 40 peratus hasil Sabah, Datuk Seri Anwar memberi jaminan isu berkenaan akan diselesaikan dan kerajaan komited menunaikan janji berkenaan.

“Kita sudah janji, kita akan laksanakan. Ini bukan sekadar cakap-cakap seperti kerajaan sebelum ini, kita akan buat,” kata beliau ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Rakyat di Markas Pakatan Harapan di Karamunting Sandakan.

Dalam majlis itu, beliau turut menyeru rakyat Karamunting agar membantu calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 demi kemajuan dan pembangunan kawasan itu.

Hadir sama dalam majlis berkenaan Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.