fb fb fb fb fb

Kerjasama MMU, ZTE Corp wujud hab kejuruteraan 5G

CYBERJAYA, 17 Oktober- Universiti Multimedia (MMU) bekerjasama dengan ZTE Corporation bagi mewujudkan hab kejuruteraan dalam usaha melahirkan bakat dalam teknologi 5G.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching, kolaborasi itu boleh dicontohi syarikat teknologi lain terutamanya dalam bidang telekomunikasi dan keselamatan siber.

Menerusi kerjasama berkenaan pembangunan bakat dapat dilahirkan melalui biasiswa pendidikan, projek penyelidikan, latihan amali dan peluang pekerjaan yang berkaitan.

"Liputan untuk 5G di Malaysia untuk kawasan berpenduduk kami ianya sudah sampai 70 peratus. Jadi selain daripada pengguna individu setakat ini adalah lebih kurang 7.4 peratus.

"Tetapi kita perlu lebih banyak syarikat untuk bangunkan penggunaan 5G untuk perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan juga industri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hab Kejuruteraan Komunikasi MMU NextGen di sini.

Hab itu juga bakal menjadi mangkin kepada kemahiran profesional pelajar, menjana projek penyelidikan dan pembangunan berkualiti tinggi, serta menggalakkan penyertaan industri yang lebih besar.

Belanjawan yang diumumkan baru-baru ini telah memperuntukkan lebih RM2.84 bilion kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

Ia bagi meningkatkan inisiatif ketersambungan digital, ekonomi digital, keselamatan siber, pemasaran maklumat kenegaraan serta menyokong perkembangan bakat dan projek kreatif tempatan.

(Teo Nie Ching)

Media Baharu