fb fb fb fb fb

Kejadian hujan faktor utama tanah runtuh Batang Kali

KUALA LUMPUR, 17 Oktober- Hasil analisis forensik mendapati kejadian hujan merupakan faktor utama pencetus tanah runtuh di Batang Kali yang mengorkankan 31 orang awam pada 16 Disember 2022.

Perkara itu diperakui menerusi laporan siasatan berkaitan tragedi malang berkenaan yang dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Bilangan 2, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, "kegagalan cerun menyebabkan tapak perkhemahan meliputi Kawasan Hill View, Farm View dan River Side tertimbus.

"Sisa runtuhan tanah itu menyebabkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa," katanya.

Bagaimanapun siasatan tidak menemui bukti kukuh menunjukkan aktiviti antropogenik sebagai salah satu faktor penyumbang kepada kejadian tanah runtuh tersebut.

Pada 12 April lalu jemaah menteri bersetuju supaya satu jawatankuasa khas yang dikenali sebagai Jawatankuasa Kumpulan Kerja Tanah Runtuh (JKKTR) ditubuhkan bagi menjalankan kerja-kerja penyiasatan tanah runtuh berkenaan berdasarkan kepada Pelan Induk Cerun Negara (PICN) 2009-2023 dan keputusan Jemaah Menteri.

Jawatankuasa diketuai Cawangan Kejuteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, serta agensi-agensi teknikal lain, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan badan-badan professional yang dilantik.

Dalam tragedi pada pukul 2.30 pagi itu telah mengorbankan 31 mangsa manakala 61 lagi terselamat dalam tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali.

(Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi)

Media Baharu