TERENGGAU, 6 Januari - Kerjasama dan koordinasi di Pusat Kawalan Operasi Bencana bagi menguruskan penduduk terjejas banjir di 4 negeri setakat ini baik dan berjalan lancar.
Ini termasuk atur gerak aset dan keanggotaan disetiap agensi yang membantu menguruskan bencana berkenaan di Johor, Terengganu, Kelantan dan Pahang.
Menteri Kanan Pertahanan Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussin setakat ini berpuas hati dengan atur gerak kerja yang dijalankan dan menyifatkan ia bukti struktur kepimpinan yang ada mampu mengkoordinasikan semua agensi dengan baik dalam usaha membantu rakyat.
Kerjasama yang baik juga akan diteruskan dipelbagai peringkat termasuk Kerajaan Negeri dan setiap agensi berkepentingan dalam usaha membantu kerja-kerja baik pulih infrastruktur, rumah dan melakukan ujian pengesanan COVID-19 pasca banjir.
Bagi tujuan itu semua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diarah berada dalam keadaan siap siaga untuk mendepani sebarang kemungkinan gelombang banjir seterusnya.
Mengulas mengenai banjir di Selangor beliau berkata, situasi banjir di negeri itu berbeza berbanding Pantai Timur dan kajian mendalam mengenainya akan dijalankan.
Tegasnya perancangan dan kesiapsiagaan anggota dan aset dibuat di seluruh negara bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
"Banjir di bandar mungkin berbeza dengan air naik di kawasan-kawasan lain. Persiapan kita untuk mengatur gerak aset dan anggota kita banyak berkisar kepada arahan daripada kepimpinan negeri. Dan mungkin pada ketika itu struktur dan saya tak mahu tuduh apa-apalah. Saya akan kita akan kaji. tapi yang paling penting kita belajar daripada pengalaman" Kata Hishamuddin ketika mengadakan lawatan ke Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) (Para) di Kem Sri Pantai Seberang Takir Kuala Nerus di Terengganu.
Mengulas mengenai perkembangan Op Murni di seluruh negara, setakat ini, 474 aset dan lebih 3,800 anggota pelbagai pangkat dan pegawai diaturgerakkan ke setiap negeri yang dilanda banjir.