fb fb fb fb fb

Ops BAHIS program terbaik bantu rakyat terjejas banjir, warga KKMM disaran teruskan komitmen


FOTO: FB KKMM

KUALA LUMPUR, 6 Januari - Warga Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) diminta agar meneruskan komitmen yang digalas dalam membantu rakyat yang terjejas banjir.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata Ops Bantu Hingga Selesai (BAHIS) yang dilaksanakan bawah KKMM antara program terbaik membantu mangsa banjir di samping memberi impak mendalam kepada mangsa terlibat.

"Situasi banjir kali ini telah membuka ruang untuk kita mempertingkatkan komitmen sebagai satu Keluarga Malaysia," katanya.

Selain itu, Annuar turut menzahirkan penghargaan terhadap seluruh agensi kerajaan dan juga badan bukan kerajaan (NGO) yang turut terlibat dalam membantu keluarga terjejas banjir.

Beliau berkata demikian semasa berucap menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2022 KKMM di Auditorium Perdana, Angkasapuri hari ini.

Sebanyak 172 "keluarga angkat" KKMM di Kampung Sungai Lui, Bukit Changgang dan Taman Sri Muda yang terjejas teruk akibat banjir telah menerima bantuan barangan keperluan dan wang tunai yang disumbangkan badan bukan kerajaan (NGO) dan rakan-rakan strategik seperti YTL, Maxis, DiGi, MRCB dan Ekovest.

Ops BAHIS berlangsung selama lima hari, berakhir Ahad lalu berjaya menyelesaikan pembersihan di ketiga-tiga lokasi terlibat hasil kerjasama 1,500 sukarelawan KKMM.

Menerusi Ops itu kira-kira 6,000 tan sampah telah diangkut keluar dari ketiga-tiga kawasan tersebut.

 

Media Baharu