fb fb fb fb fb

Kereta hilang kawalan, wanita nyaris maut

SIK, 13 Mac - Seorang wanita nyaris maut apabila kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan memasuki ruang hadapan sebuah rumah di Kampung Carok Tenang, di sini.

Kejadian berlaku ketika Nurul Ajman Yub, 28, dalam perjalanan pulang dari Bandar Baru Beris Jaya ke rumahnya di Kampung Landai, Mukim Sok.

"Berdasarkan keterangan saksi, kereta berkenaan dipercayai cuba mengelak sesuatu sebelum terbabas dan bergesel dengan tiang elektrik lalu merempuh tiang hadapan rumah seorang penduduk," kata Pengarah Pasukan Briged Bomba Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM), Mahadzir Abd Hamid.

Akibat rempuhan tersebut, kenderaan jenis Perodua Alza remuk di bahagian hadapan.

Mangsa yang trauma dengan kejadian itu diberikan rawatan kecemasan di Hospital Sik sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

(Foto menunjukkan keadaan kereta Nurul Ajman yang terbabas di hadapan kediaman penduduk)

Pihaknya yang menerima panggilan kecemasan daripada penduduk bergegas ke lokasi bagi mengalihkan kenderaan tersebut.

Operasi dijalankan dengan bantuan sebuah jentolak dan kenderaan berkenaan berjaya dikeluarkan dari lokasi kejadian menggunakan jentera BSYJM dan dengan kerjasama penduduk setempat.

Media Baharu