fb fb fb fb fb

Kerajaan tumpu aspek percukaian sedia ada

KUALA LUMPUR, 25 September- Kerajaan memberi penekanan terhadap beberapa aspek sebelum sebarang dasar percukaian negara termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksana.

Antaranya aspek struktur keseluruhan sistem percukaian sedia ada, ruang penambahbaikan, keperluan hasil kerajaan, kedudukan ekonomi semasa, taraf hidup dan ketersediaan rakyat.

Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim berkata, "pada waktu sekarang kerajaan berpendapat terutamanya apabila negara masih dalam tempoh fasa pemulihan ekonomi pasca COVID-19 selain pelbagai cabaran ekonomi dunia.

"Negara masih belum bersedia untuk melaksanakan GST. Perkara ini bukan perbincangan dari segi kekuatan atau kelemahan sistem percukaian GST namun berkenaan kesesuaiannya," katanya ketika menggulung perbahasan sidang khas Dewan Negara Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK-12) di Dewan Negara.

Libat urus dengan semua pihak berkepentingan akan diadakan untuk melihat kesesuaian dan penambahbaikan sistem percukaian negara.

Berkenaan pengenalan cukai karbon, Sim berkata pengenalan cukai baharu perlu dikaji untuk mengambil kira kesannya kepada aktiviti ekonomi dan kehidupan rakyat.

“Oleh itu, kerajaan buat masa ini tiada keputusan untuk melaksanakan cukai karbon. Namun, Kementerian Kewangan sedang melaksanakan kajian kebolehlaksanaan cukai itu sebagai instrumen harga karbon bagi menyokong aspirasi negara untuk mencapai pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau seperti yang diumumkan dalam RMK-12,” katanya.

Kajian itu juga merangkumi proses mengenal pasti amalan terbaik yang dilaksanakan di negara-negara maju berhubung pelaksanaan cukai berkenaan.

(Steven Sim)

Dalam sesi sama pasukan petugas berhubung perumahan sakit ditubuhkan bagi memastikan sesebuah projek itu tidak diisytihar terbengkalai dan membebankan pembeli.

Ia bergerak dengan empat keutamaan iaitu pengenalpastian, penyelesaian, pencegahan dan cadangan model ke hadapan.

Menggulung perbahasan KSP RMK-12 Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir memberitahu pasukan petugas bermesyuarat setiap bulan bagi mendapatkan maklumat status projek sakit secara berkala.

"Bagi jangkaan seterusnya, kementerian ini mengunjurkan projek sakit akan bertambah sebanyak 308 sehingga hujung tahun ini. Namun angka ini tidak termasuk projek yang dikategorikan sebagai projek sakit semasa dan statistik ini sangat dinamik dan akan berubah," katanya.

Dalam tempoh sembilan bulan, sebanyak 222 projek perumahan sakit berjaya dipulihkan melibatkan 24,422 unit rumah.

Sementara itu Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata tiada keperluan untuk sebuah lapangan terbang baharu dibangunkan bawah Projek Kedah Aerotropolis buat masa ini.

Perkara itu berdasarkan kemampuan fasiliti sedia ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) mengendali permintaan perkhidmatan kargo dan penumpang.

"Lapangan terbang baharu iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) hanya akan dipertimbangkan untuk dibina selepas LTAPP mencapai kapasiti maksimum 20 juta pelancong setahun menjelang 2042.

"Kementerian Pengangkutan tiada halangan berhubungan cadangan melaksanakan projek pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Aerocity serta Sidam Logistics, Aerospace dan Manufacturing Hub (SLAM)sebagai sebahagian pembangunan bercampur bawah pembangunan Kedah Aerotropolis," katanya.

(Perbahasan sidang khas Dewan Negara Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12)

Media Baharu