fb fb fb fb fb

Pasukan selaras pembangunan Taman Perindustrian Halal ditubuhkan

Ahmad Zahid Hamidi

SEPANG, 10 Jun- Kerajaan telah menubuhkan satu pasukan petugas bagi menyelaras pembangunan Taman Perindustrian Halal serta mengenal pasti kekangan yang dihadapi kerajaan negeri dalam membangunkan kawasan berkenaan di negeri masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tahap guna pakai kesemua 14 buah Taman Perindustrian Halal di seluruh negara hanya merekodkan sekadar 11 peratus sejak 2009 hingga kini.

Jumlah itu membimbangkan kerana 13,000 ekar tanah (5260.91 hektar) diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi tujuan berkenaan.

"Ertinya kerajaan negeri komited untuk penyediaan kawasan industri halal tetapi mungkin di sana terdapat beberapa kekangan daripada segi pembangunan khususnya syarikat-syarikat pengeluar produk halal ini.

"Apa telah kita putuskan (dalam mesyuarat), kita wujudkan task force ini, saya pengerusikan dengan kerjasama semua kerajaan negeri, dan kita akan mendapat maklum balas dari mereka, apa kekangan sebenarnya yang mungkin boleh dibantu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Jabatan Kemajuan Islam dan Halal Development Corporation Bhd (HDC) yang boleh kita koordinasi," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal berkata, angka 11 peratus itu terlalu rendah sedangkan pasaran halal dunia bernilai AS$3 trilion dengan peluang yang ditawarkan begitu luas.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal Bil 1/2024 di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

SITI AISHAH MD ISA