fb fb fb fb fb

CLQ pertama di Melaka siap dibina, mampu tampung 3,264 pekerja

Bangunan tersebut boleh menampung seramai 3,264 orang pekerja secara berpusat khususnya di kawasan Melaka Tengah.

AYER KEROH BARU, 10 Jun- Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) pertama di Melaka yang dikenali i-Asrama siap dibina di Eco Park, Ayer Keroh.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas dan fasiliti seperti klinik, surau dan pasar mini secara berpusat.

Bangunan tersebut boleh menampung seramai 3,264 orang pekerja secara berpusat khususnya di kawasan Melaka Tengah.

Jelasnya, CLQ tersebut dibina mengikut piawaian Akta 446 dan Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja yang diluluskan oleh Jabatan Tenaga Pekerja.

"Dan saya melihat kemudahan-kemudahan yang disediakan bertaraf yang boleh dibanggakan kerana menyediakan penginapan berkualiti.

"..Dan juga produk asrama ini dibuat secara terancang dan dapat memastikan bahawa pekerja-pekerja yang menginap di sini mendapat kepuasan dalam mereka untuk mencari rezeki di negeri Melaka ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian I-Asrama @Ayer Keroh Eco Park Bangunan Asrama Pekerja Berpusat di sini.

Tambahnya, kerajaan Melaka menyasarkan 40 unit CLQ untuk menampung kapasiti pekerja di negeri itu.

CLQ berkenaan juga merupakan yang pertama di Malaysia dengan Pensijilan Bangunan Hijau: Gold Project GreenRE.  

Beliau berkata pembinaan lebih banyak CLQ di negeri itu pada masa hadapan merupakan langkah proaktif untuk memberi tumpuan dan sokongan kepada pihak swasta membangunkan sektor perindustrian, khususnya industri berteknologi tinggi.

Ia bagi menarik lebih banyak kemasukan pelabur, sekali gus meningkatkan permintaan dalam ekosistem pelaburan di negeri itu.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata pihaknya tidak akan mengeluarkan sijil Penginapan Pekerja Secara Jangka Pendek (TLQ) menjelang 2026 kerana semua pekerja asing perlu ditempatkan di CLQ yang dibina selaras dengan Akta 446.

"Syarikat atau pemaju yang masih menggunakan TLQ perlu dipindahkan ke CLQ bagi kebajikan dan keselamatan pekerja asing.

"Sampai 2025..hari itu sepatutnya kerajaan menggesa mereka berpindah ke kawasan yang berkemudahan pada hujung April 2024 tetapi banyak lagi yang tak bersedia, maka kerajaan menangguhkan sampai tahun 2026.

"Kerajaan Melaka mempertimbangkan pelabur-pelabur yang sudahpun membuat pelaburan membina kuarters asrama ini supaya tidak menanggung kerugian.

"Jadi kita memberikan tempoh ..dari sekarang sehingga tahun 2025..awal.. mereka sedia untuk berpindah di sini,” katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM