KUALA LUMPUR, 26 November- Kerajaan bersetuju melaksana kajian serta pindaan kepada Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata langkah tersebut bertujuan menyemak semula peruntukan undang-undang sedia ada dengan mengambil kira senario dan keperluan semasa.
Ini termasuk peranan dan pemerkasaan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan serta aspek pertindihan peruntukan undang-undang strata sedia ada.
"Antara cadangan yang sedang dipertimbangkan, pertama ialah pemusatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) di bawah satu jabatan atau agensi di peringkat persekutuan bagi tujuan pemantauan yang efisien, tetapi masih tertakluk kepada perundangan persekutuan dan negeri.
"Kedua mengkaji struktur perjawatan COB sedia ada di pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan mengoptimumkan keperluan sumber manusia sedia ada untuk meningkatkan keberkesanan tadbir urus dan kawal selia", katanya dalam sesi Dewan Rakyat.
Pindaan turut mengambil kira penelitian kepada peranan serta tanggungjawab COB seperti yang termaktub di dalam perundangan sedia ada.
Beliau menjawab pertanyaan wakil Pulai, Suhaizan Kaiat di Dewan Rakyat.