fb fb fb fb fb

Dasar baharu tempoh duduki kuarters kerajaan diteliti

Foto fail RTM: Pangsapuri Aliff Sejahtera Johor Bahru di Kawasan Perindustrian Tampoi, Johor Bahru

KUALA LUMPUR, 26 November- Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) sedang meneliti cadangan untuk menetapkan dasar baharu berkaitan tempoh menduduki kuarters kerajaan termasuk merangka pelaksanaan Dasar Pemisah (exit policy) yang mengambil kira keperluan khas penghuni, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata dasar tersebut perlu dilaksanakan dengan berhati-hati, memberi kelonggaran kepada penghuni seperti mereka yang mempunyai masalah kesihatan atau sedang merancang persaraan.

"Golongan ini wajar diberi kelonggaran untuk terus mempunyai kuarters tanpa had masa tertentu," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang mewakili Menteri di JPM (Wilayah Persekutuan) menjawab soalan Ahli Parlimen Kulim, Roslan Hashim sama ada kerajaan akan memperkenalkan exit policy kepada penghuni kuarters untuk menggalakkan penghuni terutama yang menetap melebihi 10 tahun memiliki rumah sendiri bagi memberi peluang kepada penjawat awam baharu ditawarkan kuarters dan meringankan beban sewa.

Sementara itu, jelas beliau, dasar keutamaan sedia ada memberi perhatian kepada penjawat awam yang menghadapi musibah atau tergolong dalam kategori orang kurang upaya (OKU), manakala penjawat awam muda baru dilantik perlu menunggu giliran.

Mengenai Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), seramai 36,479 penjawat awam telah menandatangani Perjanjian Jual Beli dengan 31,942 daripadanya berpendapatan bawah RM5,000 sebulan.

"Kerajaan telah memperuntukkan RM466.66 juta menerusi Belanjawan 2025 untuk meneruskan program PPAM, dengan pelaksanaannya melalui kerjasama awam-swasta bagi memastikan sumber negara digunakan secara optimum," tambah Fadhlina.

Program berkenaan bertujuan membantu penjawat awam berpendapatan rendah memiliki rumah kediaman khususnya di bandar-bandar utama.

Beliau berkata daripada 1.3 juta penjawat awam yang masih berkhidmat, 52.95 peratus masih belum memiliki rumah dan majoritinya adalah dalam kalangan kumpulan pelaksana.

SITI AISHAH MD ISA