KUALA LUMPUR, 14 Oktober - Kerajaan komited menangani jenayah penipuan dan buli siber menerusi kerjasama erat antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sejak Januari 2022 hingga September tahun ini, MCMC telah mengemukakan sebanyak 139,880 permohonan kepada penyedia perkhidmatan untuk menurunkan kandungan berunsur penipuan, dengan 95 peratus daripadanya berjaya dipadam.
Bagi kandungan berbentuk buli pula, lebih 38,000 kandungan berjaya diturunkan daripada pelbagai platform media sosial.
“Pecahan mengikut platform adalah seperti berikut: 78.31 peratus di Facebook, 19.49 peratus di TikTok; dua platform terbesar yang terlibat.
“Bagi kandungan berunsur buli, sebanyak 50,160 permohonan telah dibuat dan 38,470 kandungan berjaya diturunkan, bersamaan 77 peratus kejayaan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menjawab soalan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Fahmi menjelaskan, daripada jumlah keseluruhan kandungan buli siber yang diturunkan itu, 79.24 peratus adalah di platform TikTok, 11.06 peratus di Facebook, dan 2.22 peratus di Tumblr.
Beliau berkata, tindakan penurunan tersebut dibuat berdasarkan aduan yang diterima serta garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh setiap platform, selaras dengan undang-undang tempatan.
Datuk Fahmi turut memaklumkan mulai awal tahun ini, penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial diwajibkan memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP)(C) bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, bagi memastikan mereka bertanggungjawab terhadap pengurusan kandungan di platform masing-masing.