KUALA LUMPUR, 14 Oktober - Universiti Putra Malaysia (UPM) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden pelupusan anjing liar dalam kawasan kampus yang tular baru-baru ini.
Dalam kenyataan rasmi hari ini, UPM menegaskan komitmen untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan bagi memastikan ketelusan dan keadilan dalam menangani isu berkenaan.
“Sebagai langkah awal menjaga integriti siasatan, Pengarah Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PPKKP) telah dilepaskan daripada menjalankan tugas-tugas operasi sehingga proses siasatan selesai,” menurut kenyataan itu.
UPM turut melahirkan rasa kesal dan memohon maaf atas insiden yang dilaporkan berlaku pada penghujung tahun 2024, serta menghargai keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan haiwan dan keselamatan warga kampus.
“Universiti komited memastikan setiap tindakan pengurusan haiwan liar dilaksanakan secara berhemah, beretika, dan mematuhi peraturan semasa,” tambahnya.
Sebagai langkah penambahbaikan, semua aktiviti pengendalian haiwan liar dalam kampus telah ditangguhkan sehingga satu Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu yang lebih menyeluruh dibangunkan.
SOP itu bakal menekankan keseimbangan antara keselamatan manusia, kebajikan haiwan, dan pematuhan kepada Akta Kebajikan Haiwan 2015.
UPM juga akan mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dalam usaha merangka pendekatan yang lebih mampan dan bertanggungjawab.
“UPM sekali lagi ingin menzahirkan komitmen dalam menjunjung tinggi aspirasi kesihatan planet yang mengintegrasikan kebajikan dan keselamatan manusia, haiwan, dan alam sekitar sebagai agenda utama universiti. Kami mengambil iktibar daripada peristiwa ini,” kata kenyataan itu.