fb fb fb fb fb

Kerajaan sedia aktifkan sistem amaran awal banjir

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KOTA TINGGI, 3 Oktober- Kerajaan bersedia mengaktifkan sistem amaran awal banjir, susulan Monsun Timur Laut (MTL).
 
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, amaran awal itu bagi memudahkan urusan perpindahan penduduk terjejas lebih awal, sebelum bencana tersebut melanda kawasan terlibat.

Antara sistem amaran awal tersebut adalah yang dibangunkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), iaitu 'Disaster Geospatial Information Management'.

Selain itu, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat turut mencipta alat mengesan paras air sungai sekiranya menghampiri bacaan paras bahaya.

"Yang jadi masalah adalah kawasan pedalaman. Ini kita telah kenal pasti dari awal kerana untuk sampai itu agak sukar, tetapi kita cari jalan dari peringkat awal dengan kerjasama pihak tentera, bomba dan polis untuk sampai ke tempat-tempat pedalaman", katanya kepada pemberita Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2024 di  Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor.

Monsun Timur Laut dijangka bermula pada November depan dan berterusan sehingga Mac 2025, dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.

ROSLINA BINTI DIN