fb fb fb fb fb

Kerajaan sasar masalah bantut dikurangkan 8 peratus, menjelang 2030

PUTRAJAYA, 27 Jun- Susulan kadar masalah tumbesaran tidak normal atau bantut dalam kalangan rakyat Malaysia, kerajaan menyasarkan masalah ini dapat dikurangkan kepada 8 peratus menjelang tahun 2030.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata negara kini sedang berdepan beban berganda malpemakanan (kekurangan atau kelebihan zat pemakanan) terutama dalam kalangan kanak-kanak yang berumur 5 tahun ke bawah serta peningkatan kadar obesiti dalam kalangan orang dewasa.


(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin)

Beliau berkata masalah itu berlaku di semua negeri dengan peratusan tertinggi dicatatkan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Putrajaya.

Bagi mengatasi masalah itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meluluskan Pelan Strategik Kebangsaan Menangani Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kanak-Kanak Malaysia bagi tahun 2022 hingga 2030.

Selain KKM, pelan strategik itu turut melibatkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Perpaduan Negara serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Antara rangka kerja awal pelan itu adalah dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kanak-Kanak di Malaysia yang telah pun bermesyuarat hari ini", katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Media #AnakMalaysiaSihat di sini.

"Pelan strategik ini akan kita bentang dalam Jemaah Menteri dan akan juga kita bentangkan kepada pihak Kementerian Kewangan supaya isu agenda memerangi masalah beban berganda mal pemakanan dalam kalangan kanak-kanak ini dapat diberi tumpuan dan dapat menjadi fokus utama bagi kesejahteraan Keluarga Malaysia dalam Belanjawan pada tahun 2023", katanya.

Tambah beliau, masalah bantut merentasi semua kategori sosio-demografi sama ada bandar atau luar bandar, pendapatan isi rumah, kumpulan etnik, pekerjaan dan tahap pendidikan.

Katanya, masalah bantut di Malaysia pada 2019 ialah sebanyak 21.8 peratus

Kolaborasi strategik juga turut dijalinkan antara KKM dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam melancarkan Program Media #AnakMalaysiaSihat itu.

Program media tersebut akan menyediakan pelbagai pengisian maklumat kesihatan, pemakanan dan pengurusan keluarga sepanjang 1,000 hari pertama kehidupan.

Satu laman web rasmi telah dibina dan platform media sosial serta satu program realiti TV dengan 13 episod akan disiarkan di sebuah stesen TV tempatan.

Media Baharu