fb fb fb fb fb

Kerajaan salur RM500,000 bantu Gabungan Penjaja Kecil Melayu

Perdana Menteri berucap pada Majlis Makan Malam Jubli Emas sempena ulang tahun ke-50 GPPPKMM. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Ogos - Peruntukan RM500,000 diluluskan kerajaan untuk Gabungan Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), membaik pulih kemudahan asas serta memperindah landskap pusat penjaja di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu penting bagi memastikan gerai dan warung bukan sahaja selesa untuk rakyat, malah turut menarik kehadiran pelancong.

“Jika gerai dan warung bersih, diindahkan dan dilengkapi kemudahan asas yang baik, saya percaya bukan sahaja rakyat memanfaatkan peluang ini tetapi juga pelancong. Sementara menunggu belanjawan dibentangkan, saya luluskan setengah juta ringgit untuk gabungan persatuan,” katanya.

Beliau menambah, dana berkenaan akan disalurkan terus kepada GPPPKMM untuk dimanfaatkan bagi kegiatan serta perjalanan persatuan agar program yang dirancang tidak terganggu.

Perdana Menteri berucap demikian pada Majlis Makan Malam Jubli Emas sempena ulang tahun ke-50 GPPPKMM di MATRADE, ibu negara.

Menurutnya, keputusan itu hasil perbincangan Kementerian Kewangan bersama kementerian lain, dengan memberi tumpuan kepada sokongan terhadap peniaga dan penjaja kecil yang turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

TUN JULIA MOHD TAHIR