fb fb fb fb fb

Sultan Pahang tinjau lokasi kemalangan pesawat pejuang TUDM

Keberangkatan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut diiringi oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Sri Muhamad Norazlan Aris/Foto Kesultanan Pahang

KUANTAN, 22 Ogos - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat meninjau lokasi insiden kemalangan membabitkan pesawat tempur F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan.

Menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, keberangkatan Paduka Baginda turut diiringi oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Sri Muhamad Norazlan Aris.

Baginda turut berkenan menziarahi dua anak kapal yang terselamat dalam kejadian itu di Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT), Pangkalan Udara Kuantan.

“Mereka ialah juruterbang Mejar Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34, serta jurusensor senjata pesawat Kapten Mohamad Izzuddin Mohamad Salleh, 28,” menurut kenyataan itu.

Semalam, dilaporkan sebuah pesawat tempur F/A-18D Hornet milik TUDM terlibat dalam kemalangan di kawasan landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah (Pangkalan Udara Kuantan) pada pukul 9.05 malam.

Susulan kejadian itu, tular gambar dan video kebakaran pesawat tersebut di media sosial sekali gus menarik perhatian orang ramai.

 

 

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI