KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Kejayaan mengembalikan RM15.5 bilion hasil ketirisan dalam tempoh dua tahun diperoleh daripada langkah membanteras rasuah, menutup ruang ketirisan dan memperkukuh tatakelola.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, hasil penguatkuasaan serta reformasi tadbir urus, kerajaan kini mempunyai ruang fiskal yang lebih kukuh untuk menyalurkan bantuan secara langsung kepada rakyat.
"Dalam 2 tahun lebih yang lalu, kita rampas balik berapa jumlah? 15.5 bilion Ringgit. Ia bukan satu angka yang kecil. Bayangkan. 15 bilion ini patut sampai kepada rakyat di peringkat bawahan. Tetapi, sampai kepada ahli politik di peringkat atasan. Sebab itu semua kaya belaka. (Ada) rumah di London, rumah di Australia. Dari mana orang itu curi? Dari rakyat. Kita perlu hentikan," tegas beliau.
Perdana Menteri menambah bahawa hasil pemulihan tersebut membolehkan kerajaan memperuntukkan dana yang lebih besar kepada skim perumahan, pendidikan, usahawan dan program penghapusan kemiskinan tegar.
“Ini keputusan bersama Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak hari ini. Kita mesti bersama-sama dalam menyelamatkan Malaysia daripada penipuan dan ketamakan. Ini adalah cahaya kebenaran dan keadilan. Cahaya kebaikan yang menolak kegelapan, rasuah dan penindasan,” menurutnya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani Peringkat Kebangsaan 2025 di KL Sentral, hari ini.
Datuk Seri Anwar turut menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh pentadbiran berasaskan integriti sebagai asas pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.