KUCHING, 12 September - Kerajaan Persekutuan bersetuju mempertimbangkan bilangan kerusi Dewan Rakyat bagi Sabah dan Sarawak ditambah.
Namun ia masih memerlukan perincian dan perbincangan lanjut daripada segi perundangan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu ia memerlukan penelitian teliti sebelum sebarang kata putus dibuat.
Jelasnya, perbezaan pandangan daripada sudut perundangan antara persekutuan, Sabah dan Sarawak menjadi faktor isu tambahan kerusi parlimen masih perlu diperincikan.
"Kalau tidak sepenuhnya apa yang dituntut, mungkin tambahan itu akan berlaku. Tapi berapa jumlahnya, kita belum dapat putuskan. Ini merupakan keputusan dasar," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 2025 di Kompleks Satria Pertiwi, di sini hari ini.
Datuk Seri Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 memberitahu penentuan jumlah kerusi parlimen tertakluk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya yang akan membuat kajian persempadanan semula bagi menentukan agihan kerusi.
Isu pindaan perundangan juga berbeza mengikut bidang kuasa sama ada di peringkat negeri atau parlimen.
Kerusi Dewan Undangan Negeri adalah di bawah kuasa negeri, manakala kerusi parlimen tertakluk kepada bidang kuasa persekutuan.
Beliau turut menjelaskan pindaan biasa di parlimen hanya memerlukan majoriti mudah, namun sekiranya melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan, ia memerlukan sokongan dua pertiga majoriti.