fb fb fb fb fb

Kerajaan Persekutuan, negeri bekerjasama bangunkan Pusat Kanser Sarawak

Datuk Amar Dr Sim Kui Hian

KUCHING , 31 Mac- Pembinaan sebuah Pusat Kanser Sarawak di negeri itu amat penting dalam mengendalikan kes berkenaan kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Kerajaan Sarawak berharap agar kertas kerja pentabiran daripada pihak Kerajaan Persekutuan dapat dipercepat bagi memastikan pelaksanaan projek tersebut dapat disiapkan dengan segera.

"Jadi saya masih menanti daipada Kerajaan Persekutuan berkaitan kertas kerja ini kerana kami masih tidak dapat laksanakannya.

"Kami berada di peringkat terakhir. Kita hampir sampai, malah Perdana Menteri umumkan di parlimen tahun lepas, kita masih tidak tandatangan, kita hampir sampai tetapi tidak cukup," katanya kepada pemberita semasa perarakan Sambutan Ulang Tahun Dewa Seng Ong Kong di sini.

Kerajaan Sarawak amat serius menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat terutama dalam rawatan kanser di negeri itu selain menyelesaikan isu klinik daif.

Dalam pada itu kira-kira 212 penyertaan bagi upacara perarakan Dewa Seng Ong bagi penganut Buddha diraikan dengan penuh meriah pada tahun ini di Tokong Hong San Si Lebuh Wayang di sini.

Perarakan tahunan itu dimeriahkan dengan kumpulan tarian singa dan naga. Selain itu ia juga melibatkan perarakan gendang dan tarian daripada pelbagai persatuan serta kelab.

Timbalan Premier Sarawak menyifatkan perarakan pada tahun ini amat unik dan menggambarkan perpaduan kaum di Sarawak.

Perarakan yang bermula pada pukul 4.00 petang itu mengelilingi bandar Kuching dari Lebuh Wayang kemudian melalui Jalan Padungan kemudian kembali semula ke Lebuh Wayang berakhir sebelum pukul 12.00 tengah malam di Tokong Hong San Si.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI