KUALA LUMPUR, 28 Julai - Kerajaan meneruskan komitmen dengan memperluas penggunaan teknologi turapan jalan menggunakan getah beku atau Cuplum Modified Asphalt (CMA) sebagai langkah meningkatkan kualiti jalan raya serta menyokong industri getah tempatan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sehingga kini sebanyak 142 lokasi jalan persekutuan di Semenanjung Malaysia telah menggunakan teknologi CMA, membabitkan kos keseluruhan RM140.9 juta.
"Prestasi turapan CMA ini didapati setara dengan Asphalt Conventional dan aspek luaran, aluran, keretakan sepanjang tempoh pemantauan selama 38 bulan bermula pada 2019," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias (Jelebu) berkenaan jumlah keseluruhan jalan raya di Malaysia yang
menggunakan teknologi CMA di Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Seri Ahmad turut memaklumkan bahawa pemantauan prestasi jangka panjang akan diteruskan untuk membuat perbandingan lebih tepat antara CMA dan teknologi turapan sedia ada.
Penggunaan CMA dalam kerja-kerja penyelenggaraan jalan persekutuan bermula sejak tahun 2019 dan dikembangkan dengan kerjasama Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi mengoptimumkan potensi getah dalam industri pembinaan jalan raya.
Selain CMA, kerajaan turut memperkenalkan teknologi Crumb Rubber Modified Asphalt (CRMA) yang menggunakan tayar terpakai sebagai bahan campuran turapan.
CRMA bukan sahaja mematuhi piawaian ESG, SIRIM Eco Label dan MyHijau, malah dilaporkan mampu menjimatkan kos penyelenggaraan sehingga 26.27 peratus selepas lima tahun, seperti dibuktikan di Lebuhraya SKVE.