KUALA LUMPUR, 28 Julai - Pendekatan baharu kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup bukan hanya dengan pemberian subsidi tetapi melalui strategi bersasar dan menyeluruh yang memberi impak langsung kepada rakyat berpendapatan rendah.
Justeru sumbangan tunai RM100 kepada lebih 22 juta rakyat di Malaysia dilihat akan membawa impak signifikan kepada ekonomi mikro negara.
Menurut Tan Sri Omar Centre for STI Policy, IISDS, UCSI University, Professor Datuk Dr Ahmad Ibrahim, jumlah keseluruhan yang disalurkan kerajaan menerusi bantuan itu boleh mencecah berbilion ringgit sekiranya dibelanjakan dalam tempoh serentak.
Majoriti penerima dijangka membelanjakan bantuan tersebut untuk barangan keperluan asas seperti makanan dan barangan harian sekali gus memberikan nafas baharu kepada peniaga kecil yang mungkin terkesan dengan ketidaktentuan perkembangan ekonomi dunia.
"Namun saya percaya tujuan utama kerajaan mengeluarkan pengumuman ini adalah untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada pelbagai maklumat tidak tepat yang tersebar mengenai keadaan ekonomi. Hakikatnya, jika kita melihat kepada fakta sebenar, ekonomi negara kita sedang menunjukkan perkembangan yang semakin positif," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.
Langkah itu turut dilihat sebagai kesinambungan kepada pendekatan subsidi bersasar yang sedang diusahakan kerajaan bagi menggantikan sistem subsidi 'blanket' yang sering memanfaatkan semua golongan tanpa mengira keperluan sebenar.
"Kita sekarang sedang menuju ke arah subsidi bersasar ini lebih adil dan lebih efektif. Subsidi tidak sepatutnya diberi sama rata, tetapi hanya kepada mereka yang benar-benar memerlukan,"katanya lagi.
Langkah pemberian RM100 itu dilihat bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata, malah menjadi simbol keyakinan dan sokongan kerajaan kepada rakyat dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.