TANGGA BATU, 15 Oktober- Kerajaan akan memperkenal kursus baharu berkaitan kenderaan elektrik (EV) dan tenaga solar bawah Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan peruntukan RM6.8 bilion.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kursus tersebut akan diperkenal di Melaka selari dengan dasar kerajaan negeri itu yang memberi fokus kepada teknologi tenaga boleh baharu.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata ia secara tidak langsung dapat memperkasa TVET yang kini mempunyai 1,334 institusi di seluruh negara membabitkan 12 kementerian.
"Sekarang kita ingin menyediakan kursus-kursus yang terbaru dan juga menambah baik infrastrukturnya selain memperbesar institusi itu bagi pengambilan yang lebih ramai mereka bagi mengikuti kursus-kursus bentuk baru ini," katanya selepas merasmikan Pejabat UMNO bahagian Tangga Batu di sini.
Ahmad Zahid berkata peruntukan itu akan digunakan bagi memnenuhi permintaan tinggi pelabur bagi keperluan guna tenaga untuk pekerjaan berteknologi tinggi.
Dalam perkembangan lain Malaysia akan terus kekal menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Kerajaan sentiasa berjaga-jaga dengan sebarang ancaman namun akan tetap menyuarakan sokongan penuh terhadap perjuangan Palestin ketika menuntut hak dan kedaulatan mereka ditindas rejim zionis Israel.
"Pihak polis telah menyatakan perkara itu adalah ancaman yang sengaja dilakukan, cuma kita perlu berjaga-jaga dan tidak perlu khuatir. Menurut kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, kita tidak perlu gentar dengan ancaman yang diberikan," katanya ketika mengulas berkenaan panggilan daripada seorang lelaki warga asing berkaitan ancaman bom di The Mall Mid Valley Southkey dan St Giles Hotel Southkey dengan amaran supaya berhenti menyokong Palestin.
Sementara itu kerajaan akan terus mengumpul derma bagi membantu rakyat Palestin yang terkesan dengan serangan berlanjutan ke atas mereka sejak sekian lama.
Sokongan Malaysia terhadap Palestin juga diterjemahkan melalui penambahan sumbangan RM10 juta kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).
