KUALA LUMPUR, 15 Oktober - Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memastikan peruntukan dana untuk Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berjumlah RM180 juta kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) diuruskan dengan cekap.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata PTPK berusaha untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir atau terlepas peluang untuk melanjutkan pengajian dalam program TVET.

"PTPK berjanji untuk melaksanakan tanggungjawab dengan komitmen yang tinggi dalam menguruskan peruntukan secara cekap," katanya menerusi kenyataan.
Tambah Sivakumar, dana yang diterima akan membantu PTPK ke arah hala tuju yang lebih dinamik sebagai penyedia dana latihan kemahiran serta menyokong pemacu perubahan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) untuk meningkatkan ekosistem TVET bagi membangunkan bakat tersedia masa hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat Jumaat lepas mengumumkan PTPK diperuntukan dengan Dana Latihan TVET sebanyak RM180 juta untuk menyediakan pinjaman pendidikan kepada 12,000 pelatih yang mengikuti Program Persijilan Kemahiran.