
KUALA LUMPUR, 11 November – Kerajaan sedang mempercepatkan proses pertimbangan dan kelulusan kuota tambahan 15,000 pekerja asing bagi subsektor restoran yang diluluskan Jemaah Menteri pada 5 Ogos lalu.
- Permohonan kuota kini dikendalikan oleh Kementerian Sumber Manusia, tertakluk kepada syarat dan kriteria kelayakan.
- Peralihan pengurusan Pusat Sehenti daripada KDN kepada KESUMA diharap mempercepatkan urusan permohonan.
- Industri restoran perlu kurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing melalui teknologi, automasi dan mekanisasi untuk meningkatkan produktiviti.
- Langkah ini selaras dengan sasaran RMK13 untuk mengurangkan peratus pekerja asing kepada sepuluh peratus menjelang tahun 2030.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, proses permohonan kini dikendalikan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berdasarkan kuota yang diluluskan serta tertakluk kepada syarat dan kriteria kelayakan ditetapkan.
Menurutnya, kelulusan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesukaran pengusaha restoran mendapatkan tenaga kerja.
“Keprihatinan kerajaan itu dizahirkan menerusi kenyataan Perdana Menteri sendiri pada penghujung Julai lalu di Pulau Pinang dan perkara itu telah dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.
“Pada 5 Ogos 2026, Jemaah Menteri mengumumkan kelulusan kuota tambahan sebanyak 15,000 pekerja asing bagi subsektor restoran berkuat kuasa serta-merta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) Kali Ke-22 di Pusat Konvensyen dan Pameran MATRADE, di sini.
Katanya, peralihan pengurusan Pusat Sehenti (OSC) daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada KESUMA juga diharap dapat mempercepatkan urusan permohonan.
Bagaimanapun, Datuk Armizan menegaskan industri restoran perlu mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing menerusi penggunaan teknologi, automasi dan mekanisasi bagi meningkatkan produktiviti.
Beliau turut menggesa pemain industri mengemukakan cadangan berasaskan data dan kajian bagi mengenal pasti kaedah terbaik melaksanakan peralihan itu.
“Contohnya melalui apa yang disebut automasi dan mekanisasi. Tetapi kita tidak boleh membiarkan restoran bergerak sendiri, perlu ada bantuan daripada kerajaan. Sebuah restoran tidak boleh mencapai matlamat itu secara bersendirian kerana ia melibatkan pelaburan yang agak tinggi,” katanya.
Usaha itu selari dengan sasaran Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) untuk mengurangkan peratusan pekerja asing kepada 10 peratus daripada keseluruhan guna tenaga negara menjelang 2030.