fb fb fb fb fb

Kerajaan negeri, semua agensinya patuhi prosedur ditetapkan berkaitan hal disiplin - Chow

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan perpustakaan digital baharu di Balai Raya Bukit Tambun, Nibong Tebal hari ini/ RTM

NIBONG TEBAL, 7 Disember - Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan semua agensinya mematuhi prosedur yang ditetapkan secara ketat dalam mengendalikan hal-hal disiplin melibatkan penjawat awam.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri berpegang teguh bahawa integriti penjawat awam kekal menjadi keutamaan tertinggi dan semua agensi mematuhi prosedur yang ditetapkan.

"Saya rasa kerajaan negeri atau mana-mana badan awam memang ada prosedur disiplin sekiranya perlu berhadapan dengan kes-kes sedemikian, untuk menguruskan kes-kes sekiranya berbangkit, seperti akan rujuk kepada jawatankuasa disiplin," kata beliau selepas merasmikan pembukaan perpustakaan digital baharu di Balai Raya Bukit Tambun, di sini hari ini.

Chow mengulas mengenai serbuan di sebuah pusat kesihatan yang dipercayai dijadikan lokasi aktiviti seksual songsang di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, penjawat awam yang ditahan semasa operasi itu boleh dirujuk kepada jawatankuasa disiplin yang berkaitan, di samping tindakan lain selaras dengan protokol standard.

Ia bukan sahaja melibatkan penjawat awam, tetapi rakyat juga perlu sedar tentang aktiviti-aktiviti sedemikian.

Serbuan pada 28 November lalu dilaporkan membawa kepada penahanan kira-kira 200 individu, termasuk dua pegawai kerajaan negeri.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN