AYER KEROH, 12 Oktober- Enam kampung di Melaka telah dipilih sebagai projek perintis bagi pelaksanaan Kampung Digital.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kaedah perkampungan digital akan memastikan setiap rumah di negeri itu mempunyai alamat lengkap dan sistematik.
Sistem ini akan dapat menyelesaikan masalah penghantaran dengan alamat rumah yang mengelirukan terutama di kawasan luar bandar.
"Inisiatif pertama dalam Malaysia oleh kerajaan Melaka yang akan dikembangkan ke seluruh Malaysia. Jadi kita telah ada enam kampung yang telah kita digitalkan, kita masih menunggu masa perdana menteri untuk melancarkan kampung tersebut," kata Ab Rauf kepada pemberita selepas pelancaran Persidangan Antarabangsa Smart Melaka dan Expo (SMIX) 2023 di MITC, Ayer Keroh.
Selain itu tambah beliau, ke arah mencapai matlamat sebuah negeri digitalisasi, kerajaan negeri turut menggalakkan usahawan termasuk peniaga kecil untuk beralih kepada pembayaran tanpa tunai.
Ia dilihat lebih selamat dan membantu meningkatkan pendapatan peniaga.
SMIX 2023 disertai lebih 100 pempamer melibatkan jabatan dan agensi kerajaan selain syarikat swasta.
(Ia dilihat lebih selamat dan membantu meningkatkan pendapatan peniaga.)