fb fb fb fb fb

Kes jenayah komersial meningkat - JSJK Bukit Aman

KUALA LUMPUR, 12 Oktober- Kes jenayah komersial tahun ini menunjukkan trend peningkatan berbanding tahun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata RM1.6 bilion kerugian dicatatkan melibatkan jenayah komersial pada sembilan bulan pertama tahun ini.

"Daripada jenayah tersebut, jenayah yang berunsurkan penipuan telah mencatatkan kerugian yang semakin meningkat iaitu di sekitar RM1.2 bilion, sejak Januari hingga September 2023.

Sementara itu, kes-kes yang berbentuk jenayah pecah amanah mencatatkan nilai sebanyak RM310.2 juta bagi tahun 2023," kata Ramli kepada pemberita dalam sidang media selepas melancarkan konvoi Kapcai Ride Anti Scam JSJK 2023 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di ibu negara.

Menurut statistik JSJK, kes jenayah komersial untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini direkodkan sebanyak 30,992 kes, lebih tinggi daripada jumlah kes sepanjang tahun lepas iaitu 30,536 kes.

Kes penipuan merekodkan jumlah keseluruhan paling tinggi RM1.24 bilion, diikuti pecah amanah sebanyak RM310.18 juta dan jenayah siber, RM31.14 juta.


(Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli
Mohamed Yoosuf)

Media Baharu