fb fb fb fb fb

Kerajaan manfaat pelabuhan, lapangan terbang kukuhkan ekonomi P. Pinang

Foto Hiasan

GEORGE TOWN, 19 November - Kerajaan akan memanfaatkan pelabuhan dan lapangan terbang sebagai 'enjin berkembar' industri pelancongan Pulau Pinang untuk memastikan ekonomi negeri menerima impak positif jangka panjang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pelabuhan dan lapangan terbang dilihat sebagai dua faktor penting untuk mengukuhkan ekonomi sesebuah pulau.

Katanya, kerajaan Persekutuan telah membuat beberapa pengumuman yang akan membuahkan hasil dari segi peningkatan kemasukan pelancong dan menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat penghantaran kargo di utara Malaysia.

"Saya telah berbincang dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang supaya kapasiti pengendalian meningkat hampir dua kali ganda kepada 12 juta penumpang setahun.

"Kita telah meminta MAHB mencari pendekatan segera supaya projek ini boleh siap sebelum pilihan raya umum akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang 2023, di sini.

Tambah Loke, keputusan kerajaan untuk menaik taraf dan membesarkan Terminal Kapal Persiaran Jeti Swettenham (SPCT) yang diumumkan pada 2018 turut memberi impak positif kepada ekonomi negeri dan telah merancakkan sektor kapal persiaran Pulau Pinang.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN