fb fb fb fb fb

Chow Kon Yeow kekal Ketua Menteri P.Pinang hingga PRU16 - Anthony Loke

(Dari kiri) Lim Guan Eng, Anthony Loke dan Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN, 19 November- Chow Kon Yeow akan kekal sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), jelas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Ia sekali gus menepis desas-desus mengatakan Chow Kon Yeow akan digantikan susulan dakwaan wujud pergerakan untuk menjatuhkan beliau baru-baru ini.

"Saya nak katakan, dalam apa saja organisasi termasuk parti politik, kadang kala ada perbezaan pendapat, (dan) itu perkara biasa.

"Tetapi apa sahaja keputusan, ia bukan keputusan peribadi (serta) mesti keputusan kolektif (dan) keputusan kepimpinan parti yang mewakili parti.

"Jadi dalam soal Ketua Menteri ini, yang membuat keputusan untuk menyokong Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang bukan keputusan saya, bukan keputusan Guan Eng (Lim Guan Eng), tetapi keputusan kolektif kepimpinan tertinggi DAP.

"Kepimpinan tertinggi (juga) tidak pernah ada sebarang perbincangan (untuk) nak ganti orang (Ketua Menteri Pulau Pinang)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang di sini.

Hadir sama, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang.

SITI AISHAH BINTI MD ISA