SEPANG, 18 Januari - Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 akan dijalankan bermula Januari hingga Disember tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata survei yang dikendalikan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) secara bersemuka itu menyasarkan hampir 93,000 isi rumah terpilih atau lebih 500,000 penduduk di seluruh negara.
Katanya, Survei tersebut antara lain bertujuan mengkaji dan menyediakan maklumat pola pendapatan dan perbelanjaan isi rumah, selain menyediakan statistik kemiskinan.
"Angka-angka yang dikutip ini adalah penting untuk perancangan negara. kita nak buat sekolah,tengok mana ramai orang. kalau saya berniaga, nak buat supermarket, saya kena tau mana ramai orang.
"Jadi itulah penting perangkaan. kalau pelabur, dia nk tengok tempat mana paling baik," katanya ketika berucap melancarkan HIES/BA 2022 di Dewan Serbaguna, Bandar Baru Salak Tinggi di sini.
Jelasnya lagi, dapatan dari kaji selidik itu akan menjadi penanda aras baharu bagi penggubalan polisi dan dasar yang berkaitan untuk kesejahteraan rakyat.
Sekaligus menjadi input dalam menilai pencapaian Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda Pembangunan Mampan 2030.