PUTRAJAYA, 24 Julai - Kerajaan telah membuat ketetapan dasar untuk menggalakkan penerapan tenaga boleh baharu dalam kalangan pengguna dengan mengecualikan kutipan 1.6 peratus Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB) bagi tarif elektrik bermula 1 Ogos 2025.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi kenyataan memaklumkan program tenaga boleh baharu yang dilaksanakan oleh PETRA ini selaras dengan hasrat untuk merancakkan pembangunan dan integrasi tenaga boleh baharu dalam pembekalan elektrik negara.
Pengecualian itu melibatkan tiga program utama iaitu Tarif Elektrik Hijau (GET), Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) dan Community Renewable Energy Aggregation Mechanism (CREAM).
"Kutipan 1.6 peratus KWTBB daripada tarif elektrik pengguna telah diperkenalkan pada 2011, sebagai dana untuk memangkin pertumbuhan pembangunan tenaga boleh baharu di negara ini melalui mekanisme tarif galakan atau Feed-in Tariff (FiT) oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.
"Sejak pelaksanaan tersebut kapasiti tenaga boleh baharu teragih dalam sistem pembekalan elektrik negara terutamanya daripada sumber solar telah meningkat secara mendadak iaitu daripada 5MW pada tahun 2011 kepada 5,100MW pada masa ini.
"Pada masa yang sama, program FiT ini dapat meningkatkan komposisi pembekalan elektrik daripada sumber biogas, biojisim dan hidro kuasa kecil kepada 855MW", menurut PETRA menerusi satu kenyataan.
PETRA berharap dengan penambahbaikan itu akan memberikan insentif kepada pengguna terutamanya syarikat korporat dan industri untuk terus menyokong agenda peralihan tenaga negara ke arah mencapai sasaran 70 peratus TBB dalam pembekalan elektrik negara menjelang tahun 2050.
"Usaha ini juga diharap akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri TBB negara yang lebih progresif dan positif, seraya memenuhi tanggungjawab kepada generasi masa kini dan akan datang, sejajar dengan prinsip utama Malaysia MADANI", katanya.