fb fb fb fb fb

Kerajaan kaji implikasi asing kuasa Peguam Negara dan pendakwa raya

KUCHING, 4 September - Kerajaan masih mengkaji implikasi cadangan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwa raya meski banyak negara lain termasuk negara Komanwel telah melakukan hal yang sama.

Itu penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bahawa cadangan itu tidak mudah dilaksanakan.

Jelasnya untuk cadangan itu dilaksanakan di Malaysia, sebanyak 19 undang-undang sedia ada termasuk Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda.

Selain itu, perkara tersebut juga melibatkan kos yang memerlukan penambahan kepada perbelanjaan kerajaan.

“Apabila diasingkan Peguam Negara perlu ada pejabatnya sendiri, perpustakaan, staf serta penasihat sendiri kerana tidak lagi boleh berkongsi dengan pendakwa raya.

“Kita juga tidak tahu berapa juta diperlukan setahun untuk membiayai perkara ini.”

(Wan Junaidi menyerahkan wang deposit pembelian tanah Kampung Sejingkat/FOTO Facebook Wan Junaidi)

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Wang Deposit Pembelian Tanah Kampung Sejingkat untuk pembinaan Masjid Darul Ehsan, di sini, hari ini.

Secara peribadi, Wan Junaidi berkata beliau menyokong cadangan pengasingan kuasa itu namun kajian menyeluruh diperlukan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Semalam, penganalisis politik dari Universiti Sunway, Prof Wong Chin Huat dalam tulisannya yang dilaporkan dalam media tempatan mencadangkan agar pengasingan peranan pendakwa raya daripada Peguam Negara sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, cadangan tersebut perlu supaya pendakwa raya boleh 'bebas' daripada sebarang gangguan politik.

Media Baharu