fb fb fb fb fb

Pelajar maut dalam kemalangan tiga buah kenderaan

(Lokasi kejadian di kilometer 5, Jalan Kuala Nerang-Bukit Tampoi, dekat Padang Terap, Kedah)

KUALA NERANG, 4 September- Seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Kuala Nerang, Kedah maut selepas motosikal yang ditunggangi terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan.

Kemalangan berlaku di kilometer 5, Jalan Kuala Nerang-Bukit Tampoi, dekat Padang Terap, Kedah, kira-kira jam 9 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, DSP Mulkiaman Manzar berkata, "ketika kejadian, mangsa berusia 17 tahun yang berasal dari Taman Seri Tampoi, Kuala Nerang dalam perjalanan dari arah Pokok Sena menuju ke Kuala Nerang.

"Bagaimanapun ketika tiba di tempat kejadian, sebuah kereta yang berada di hadapan mangsa berhenti di tengah jalan kerana mahu membelok ke sebelah kanan.

Akibat tidak sempat mengelak, mangsa kemudiannya melanggar belakang kereta tersebut dan terbabas ke tengah jalan.

Selepas itu, sebuah lagi kenderaan yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa.

(Pegawai keselamatan mengawal keadaan lalu lintas di lokasi kejadian)

Mangsa cedera parah di bahagian perut dan patah kaki akibat kemalangan itu dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk mendapatkan rawatan.

Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi tadi ketika sedang dirawat di HSB.

Manakala pemandu dua lagi kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

Media Baharu