fb fb fb fb fb

Kerajaan gesa kerjasama erat tangani jenayah siber – Datuk Fahmi Fadzil

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil / Foto RTM

PUTRAJAYA, 3 Julai – Kerajaan menyeru agar kerjasama antara pelbagai agensi dan pihak berkuasa dipertingkatkan dalam usaha memerangi jenayah siber dan penipuan dalam talian (scam) yang semakin membimbangkan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata pendekatan menyeluruh melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) amat penting bagi memastikan keselamatan digital negara lebih kukuh.

“ Akhirnya, banyak isu keselamatan siber berpunca daripada sikap pengguna sendiri. Jika kita mengamalkan apa yang disebut sebagai ‘cyber hygiene’ yang baik, seperti tidak klik pautan meragukan, menggunakan pengesahan dua faktor dan menukar kata laluan secara berkala, ia mampu membantu melindungi diri daripada menjadi mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi panel pada Forum Menjamin Malaysia Digital yang Lebih Selamat: Memperkukuh Dasar Keselamatan Dalam Talian dan Kesedaran Awam sempena Pameran dan Persidangan Pertahanan & Keselamatan Siber (CYDES) 2025 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik inisiatif pusat panggilan talian 997 yang dikendalikan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) yang akan beroperasi secara 24 jam sebagai langkah pantas menangani kes penipuan kewangan.

Katanya, usaha sebegini memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk memperkukuh sistem keselamatan siber negara dan mempertingkat kesedaran dalam kalangan masyarakat.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD