fb fb fb fb fb

Dua bilik guru SMK Dang Anum terbakar

Foto JBPM Melaka

MERLIMAU, 3 Julai - Dua bilik guru dan pejabat pentadbiran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Kejadian bagaimanapun tidak membabitkan kecederaan atau kehilangan nyawa.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, panggilan kecemasan diterima pada pukul 5.36 pagi.

Jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau tiba di lokasi dua minit kemudian.

Operasi pemadaman membabitkan 19 anggota dari empat balai iaitu BBP Merlimau, BBP Jasin, BBP Padang Temu dan BBP Bukit Katil.

Operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 10.30 pagi.

Bomba memaklumkan, kebakaran meliputi 80 peratus bilik berkeluasan 120 x 20 kaki persegi.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, pihaknya menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Melaka telah memberikan cuti bencana kepada pelajar dan kakitangan sekolah berkenaan selama satu hari.

"Kejadian ini tidak mengganggu pembelajaran pelajar kerana bangunan sekolah ini memang sedang menjalani proses pengubahsuaian.

Mereka ditempatkan di kelas atau bilik khas buat sementara waktu," katanya selepas melawat sekolah berkenaan di sini.

Tambah beliau siasatan lanjut sedang dilakukan oleh JBPM untuk mengenal pasti punca kejadian.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN