fb fb fb fb fb

Kerajaan disaran wajibkan pengendali bas pasang sistem telematik sebagai syarat pelesenan

-- Orang ramai melihat keadaan bas yang terlibat dalam kemalangan ngeri mengorban nyawa 15 pelajar UPSI pada Isnin lalu/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Kerajaan disaran mewajibkan pengendali bas dan kenderaan logistik untuk memasang sistem telematik sebagai syarat pelesenan susulan tragedi kemalangan membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.

Aktivis keselamatan jalan raya, Shahrim Tamrin, berkata sistem itu perlu dihubungkan kepada satu pangkalan data pemandu sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Sistem Hab Pemantauan Prestasi (PMHS).

Menurutnya, langkah itu penting bagi menangani isu kelemahan pengesanan rekod pemandu yang sebelum ini sering dikaitkan dengan jumlah saman tertunggak dan tahap keselamatan kenderaan berat.

“Sudah menjadi kelaziman kita dengar pemandu bas atau lori memiliki puluhan saman tetapi masih dibenarkan memandu. Ini jelas menunjukkan kegagalan penyelarasan antara agensi seperti Kementerian Pengangkutan, JPJ, APAD dan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrim berkata, sekitar tahun 2013 hingga 2017, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pernah membangunkan dua sistem iaitu Driver Information System (DIS) untuk pemandu teksi, dan Drivers and Commercial Vehicles Information System (DCVIS) untuk sektor pengangkutan berat.

Melalui DCVIS, kenderaan hanya boleh dihidupkan jika pemandu bebas daripada sebarang rekod kesalahan trafik atau jenayah, hasil semakan menggunakan kad RFID yang dihubungkan kepada sistem telematik dalam kenderaan.

“DCVIS direka bagi memastikan hanya pemandu yang benar-benar layak dan bersih dari segi rekod sahaja boleh memulakan perjalanan,” jelasnya.

Bagaimanapun, projek berkenaan terbantut susulan pembubaran SPAD pada penghujung 2018.

Justeru, beliau menyarankan agar Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghidupkan semula inisiatif itu dan membangunkan sistem PMHS yang lebih menyeluruh.

“Jangan hanya berhenti pada pangkalan data. Sistem pemantauan seperti telematik dan pengurusan maklumat pemandu perlu digabungkan demi keselamatan jalan raya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru komitmen antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan bagi menyelaraskan semula data rekod kesalahan pemandu.

Katanya, penyelarasan itu perlu menerusi Jawatankuasa Kesesakan dan Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Shahrim yang juga bekas ahli lembaga pengarah MIROS (2019–2022) turut berharap sistem sedia ada seperti KEJARA dapat dimasukkan ke dalam PMHS supaya setiap pemandu diawasi melalui satu ekosistem pemantauan tunggal.

“Saya mohon kerajaan atasi masalah ketidakselarasan rekod ini secepat mungkin demi menjadikan jalan raya lebih selamat untuk semua,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN