PUTRAJAYA, 13 Jun - Tiada sebarang sekatan dikenakan ke atas seorang individu yang mendakwa dirinya dihalang daripada ke luar negara pada 6 Jun lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Zakaria Shaaban berkata, bagaimanapun sekatan masuk ke Sabah terhadap individu tersebut masih berkuat kuasa berdasarkan arahan pihak berkuasa negeri.
Dalam pada itu, berhubung kekeliruan maklumat dalam sistem semakan status perjalanan, khususnya perbezaan antara versi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di portal rasmi.
Beliau menjelaskan, perkara tersebut berlaku kerana versi Bahasa Inggeris sedang dikemas kini dan telah ditutup sementara.
"JIM sedang menjalankan semakan teknikal dalaman bagi memastikan ketepatan dan konsistensi maklumat dalam semua versi bahasa agar tidak timbul kekeliruan kepada pengguna," menurutnya.
Jabatan Imigresen Malaysia turut menegaskan komitmennya terhadap prinsip ketelusan dan profesionalisme dalam pelaksanaan tugas berlandaskan undang-undang.